Tuesday, February 15, 2011

Ketagih Hiburan!!!





Hiburan. Istilahnya sahaja sudah menyeronokkan kerana ia mengingatkan kita untuk  relaks dan bersantai. Menurut Kamus DBP, hiburan itu sesuatu yang  menyukakan dan menggembirakan hati. Ia juga adalah sesuatu yang  menyeronokkan yang mampu mengalih perhatian, mengikut Kamus  Merriam-Webster pula. Melihat kepada maknanya, hiburan itu suatu  aktiviti yang ringan.

Namun, oleh kerana ia menggembirakan, maka  hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan  daripada kita. Meskipun pada mulanya hiburan adalah sesuatu yang  sampingan, oleh kerana ia menjadi minat manusia yang meluas, maka  hiburan menjelma menjadi satu industri.

Sedangkan revolusi  industri di United Kingdom pada kurun ke-18 dan ke-19 yang telah  mengubah sama sekali sosio-budaya dan sosio-ekonomi manusia, hiburan  tidak pernah menjadi pilihan manusia untuk dikembangkan. Sebaliknya,  bidang pertanian, pengeluaran, perlombongan, pengangkutan dan juga  teknologi yang menjadi penjana asal revolusi industri itu.

Hiburan  yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana  hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana, pada setiap ruang dan  ketika. Kita bangun pagi bukan lagi kerana mendengar kokokan ayam,  tetapi bila muzik rancak berkumandang daripada jam di telefon bimbit.

Sebenarnya,  hiburan itu bagus jika ia dinikmati secara sambilan. Ia sampingan,  bukan keutamaan. Ia sepatutnya merehatkan, bukannya meleka dan  melalaikan. Sebaliknya, jika kita nikmati hiburan tidak tentu masanya,  kita menjadi akibat dilolokkan. Akhirnya, kita menjadi manusia hedonis ~  manusia yang suka berseronok di sepanjang masa. Sedangkan keseronokan  itu bukannya kebahagiaan.

Kerana keseronokan selalunya seketika.
Kebahagiaan lazimnya berpanjangan.